Tuesday, November 25, 2008

Kursus Elektif UAP 2102

Aliran Pemikiran Semasa

Disediakan oleh

Abu Zaki bin Hj Ismail


Aliran Pemikiran Semasa

Aliran berasal dari kata alir yang bermakna menggerakan secara berterusan. Aliran bererti pergerakan yang berterusan. Pemikiran pula berasal dari kata fikir iaitu aktiviti minda, otak atau akal manusia. Pemikiran bererti perihal aktiviti menggunakan minda atau akal untuk mencapai sesuatu. Pemikiran juga bererti hasil lengkap atau kompleks akitiviti menggunakan minda atau akal. Semasa berasal dari masa. Ia bererti masa kini atau sekarang.

Kesimpulannya, nama kursus ini bermaksud perkembangan bahaya yang terdapat dalam cara berfikir baru yang ada pada masakini. Kursus ini adalah kajian dan perbahasan tentang aliran pemikiran semasa, sebab-sebab kemunculannya dan gangguannya terhadap masyarakat Islam serta bantahan terhadap pegangan dan doktrinnya.

Matlamat kursus ini adalah:

  1. Mendedahkan pelajar kepada aliran pemikiran semasa yang mengancam akidah Islam dan umatnya serta faktor-faktor yang membawa kepada pertumbuhan dan perkembangan aliran tersebut.
  2. Memastikan pelajar mendapat pengetahuan tentang prinsip-prinsip agama Islam dalam mengadapi aliran-aliran berkenaan.
  3. Membekalkan pelajar dengan kekuatan dalam usaha mengukuhkan barisan muslimin, menyatukan pandangan mereka untuk menghadapi isu-isu semasa.

Pemikiran secara umum adalah buah fikiran manusia. Apabila generasi awal Islam memeluk agama in, mereka berusaha memastikan ia kekal pada generasi selepas mereka. Mereka menyelami hukum-hakam dan ajaran Islam. Mereka juga mendalami isu dan apa sahaja topik berkaitannya dalam pelbagai catatan. Semua dilakukan berdasarkan kefahaman yang benar terhadap al-Quran dan al-Sunnah serta menurut panduan kedua-duanya. Hasil kerja-kerja ilmiah dan akli untuk memahami asas Islam, petunjuk, hukum-hakam dan prinsip-prinsipnya inilah yang dikenali sebagai pemikiran Islam. Justeru, ia adalah aktiviti akal umat Islam dan buah fikiran mereka dalam usaha menjelaskan Islam dan mempertahankannya.

Pemikiran Islam adalah perkara kedua, lahir hasil dari kesungguhan umat ini dalam aktiviti ilmiah dan ijtihad. Ia tertakluk kepada faktor-faktor perkembangan zaman, kemungkinan benar dan salah, kritikan, tentangan serta terdedah kepada pelbagai pertentangan dan kejutan. Sebarang pandangan dari mana-mana pemikir Islam tidak diiktiraf melainkan jika ia bersesuaian dengan kitab Allah, Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Penghormatan terhadap sebarang pandangan bergantung setakat mana ia menepati al-Quran dan al-Sunnah. Memetik kata-kata Imam Malik rahimahullah; “kata-kata setiap orang boleh diterima (dijadikan pegangan) dan ditolak, melainkan Rasulullah SAW.” Kata-kata baginda SAW wajib diterima dan haram ditolak.

Justeru, perlu dibezakan antara Islam sebagai prinsip Tuhan yang tetap dan tercatat pada al-Quran dan al-Sunnah dengan percubaan yang dilakukan oleh pemikiran Islam dalam memahami asas-asas dan petunjuk hukum-hakam serta prinsipnya. Islam adalah wahyu yang diturunkan dari langit, sedangkan pemikiran Islam lahir dari akal manusia yang tinggal di bumi. Ia tertakluk kepada kelemahan dan kesilapan seperti manusia sendiri. Islam pula tidak bersifat demikian kerana ia datang dari Allah SWT. Firman Allah SWT:

{وَبِالْحَقِّ أَنزَلْنَاهُ وَبِالْحَقِّ نَزَلَ وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ مُبَشِّراً وَنَذِيراً }الإسراء105

105. Dan Dengan cara Yang sungguh layak serta berhikmat Kami turunkan Al-Quran, dan Dengan meliputi Segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang Yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang Yang ingkar).

{أَفَلاَ يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللّهِ لَوَجَدُواْ فِيهِ اخْتِلاَفاً كَثِيراً }النساء82

82. Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan Yang banyak di dalamnya.

{لَا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ تَنزِيلٌ مِّنْ حَكِيمٍ حَمِيدٍ }فصلت42

42. Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.


Faktor-Faktor Kemunuclan Pemikiran Islam

Minat dan kecenderungan akal untuk mengkaji dan memerhati.

Islam mengajak manusia memerhati alam sekeliling untuk memahami bukti kewujudan dan kebesaran Allah SWT. Firman Allah SWT:

{قُلِ انظُرُواْ مَاذَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَا تُغْنِي الآيَاتُ وَالنُّذُرُ عَن قَوْمٍ لاَّ يُؤْمِنُونَ }يونس101

101. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Perhatikan dan fikirkanlah apa Yang ada di langit dan di bumi dari Segala kejadian Yang menakjubkan, Yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, Segala tanda dan Bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan Segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang Yang tidak menaruh kepercayaan kepadaNya.

  1. Penyebaran Islam memerlukan huraian oleh orang mengetahuinya kepada sasaran yang tidak mengenalinya. Lalu para ulama menafsirkan al-Quran dan mengistinbat hukum-hakam serta menghuraikan al-Sunnah. Mereka telah meninggalkan perbendeharaan ilmu yang banyak dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan.
  1. Islam diancam akidah-akidah dan pemikiran asing. Umat Islam menggunakan jidal (debat dan logik) untuk berbahas dengan kaum Yahudi dan Nasrani.
  1. Tuntutan dan keperluan realiti semasa. Manusia sudah pasti menghadapi pelbagai isu dan peristiwa yang tidak semuanya dijelaskan oleh nas (secara langsung). Justeru, akal berperanan menimbang dengan analogi (qiyas) lalu mengistinbat hukum syarak.
  1. Munculnya kumpulan-kumpulan serpihan dengan cara berfikir dan pandangan yang jauh berbeza. Setiap kumpulan berkenaan menuju arah yang bertentangan satu sama lain.

Sumber-sumber Pemikiran Islam

Pemikiran Islam adalah buah fikiran dan hasil aktiviti ilmiah umat Islam dalam memahami asas-asas agama ini dan nas-nasnya. Oleh itu, sumber pemikiran Islam adalah juga sumber Islam dengan tambahan ilmu-ilmu lain dan dianggap al-hikmah. Ia disifatkan sebagai barang hilang yang tercicir dari umat ini, justeru mereka berhak mengambilnya. Sumber-sumber berkenaan adalah:

  1. Al-Quran dan tafsiran ayat-ayatnya.
  2. Sunnah Rasulullah SAW dan huraiannya.
  3. Ijtihad para ulama dan kata-kata mereka.
  4. Ilmu-ilmu akal (aqli) yang diterjemahkan ke Bahasa Arab seperti mantiq, falsafah dan matematik.
  5. Eksperimen dan penyelidikan ilmiah yang dilakukan oleh para ulama dan ilmuan Islam.

Perkembangan Pemikiran Islam

Pemikiran Islam telah melalui pelbagai peringkat bangun dan jatuh, maju dan mundur. Ia bermula pada peringkat awal dengan panduan dari nas-nas al-Quran dan al-Sunnah dan bergerak lurus berkhidmat untuk Islam sehingga mencapai pelbagai bidang ilmu pada kurun keempat Hijrah. Empat kurun pertama ini dianggap sebagai peringkat pembinaan dan pembentukan dalam semua cabang ilmu syariah, bahasa dan sastera. Termasuk juga matematik dan sains. Ia adalah zaman ijtihad fiqh. Antara tokoh utama dalam zaman ini adalah:

  1. Imam Muhammad bin Jarir al-Tabari dalam bidang tafsir.
  2. Imam al-Bukhari dan Muslim dalam bidang hadis.
  3. Imam mazhab yang empat dalam bidang fiqh/fekah.
  4. Abu Ishak al-Zajaj dan Abu Mansur al-Azhari dalam bidang sastera dan bahasa; dan lain-lain lagi.

Keluasan Pemikiran Islam

Kajian pemikiran Islam tidak terbatas kepada sesuatu aspek sahaja. Ia merangkumi pelbagai bidang, semua jenis ilmu dan fann (seni atau kemahiran). Ia termasuklah ilmu naqli seperti akidah, tafsir dan fekah; serta ilmu aqli dan percubaan (tajribiyyah) seperti matematik, perubatan, kimia, biologi dan astronomi; juga ilmu kemanusiaan seperti psikologi dan sosiologi. Kesungguhan ulama dahulu telah menyerlah dan melahirkan ciptaan dan rekaan dalam aspek sains seperti juga pencapaian mereka dalam bidang ilmu agama. Jika kita teliti perkembangan ilmu dalam tamadun peradaban Islam, kita akan dipenuhi rasa takjub melihat kehebatan para ulama (dan ilmuan) yang menjadi contoh ideal dalam aktiviti ilmu dengan erti kata yang sebenar. Antara mereka adalah:

  1. Abu Rayhan al-Biruni; mengasaskan teori pusingan bumi pada paksinya mengelilingi matahari.
  2. Abu al-Thana’ al-Asfihani; pernah membahaskan tentang idea penerokaan dunia baru sebelum pelayaran Columbus sekitar 150 tahun.
  3. al-Fazari; ahli astronomi yang pertama dalam Islam.
  4. Ibn Khaldun; pengasas sosiologi dan ekonomi politik.
  5. Ibn Sina; bukunya Canon of Medicine terkenal dan diterjemah ke pelbagai bahasa. Ia terus menjadi asas kajian perubatan di Perancis dan Itali selama 6 abad.
  6. Abu al-Qasim Khalaf bin Abbas; bukunya al-Ta’rif liman ‘Ajaza ‘an al-Tasrif, sebahagian kandungannya menjadi rujukan para pereka alat pembedahan.

Mereka adalah antara tokoh yang menyerlah di kalangan ilmuan Islam dalam pelbagai bidang ilmu aqli. Sejarah juga telah mencatatkan cendikiawan (abqari) dengan bilangan yang besar dalam agama seperti imam-imam emapt mazhab dan pengarang kutub sittah. Bilangan mereka ramai dan tidak termuat dalam catatan di sini. Setengah ahli sejarah pula menyifatkan al-Imam al-Suyuti (meninggal pada 911Hijrah) sebagai cendikiawan terakhir Islam sebelum zaman kemunduran pemikiran Islam.

Kemunduran Pemikiran Islam dan Sebab-sebabnya (oleh Dr Ahmad Syalabi)

Pemikiran Islam telah merosot selepas kurun ke-13M. Tempoh antara kurun ke-13M hingga kurun ke-16M pula adalah tempoh yang sangat lemah. Semuanya kerana sebab-sebab berikut:

  1. Kecenderungan berlebihan yang dicetuskan dalam falsafah Islam oleh Imam al-Ghazzali di bahagian Timur Islam dan Ibn Rusyd di bahagian Barat Islam. Al-Ghazzali telah membawa falsafah cenderung kepada aspek rohani sehingga tenggelam dalam tasawuf. Ibn Rusyd pula membawa falsafah ke arah bertentangan ke jurang kebendaan. Al-Ghazzali berjaya di Timur sehingga pandangan-pandanganya menjadi institusi terpenting di sebelah Timur, manakala Ibn Rusyd berjaya di bahagian Barat sehingga buah fikirannya menjadi sandaran pemikiran Barat. Selepas itu, jurang antara Timur dan Barat semakin luas, setiap satu mengabaikan aspek lawannya sehingga merugikan kedua-dua pihak. Sedangkan hakikatnya aliran rohani tidak boleh melupakan akal dan mantik. Begitu juga aliran kebendaan tidak boleh mengabaikan sudut-sudut rohani dalam pelbagai bidang. Kedua-duanya saling melengkapi satu sama lain. Mengabaikan salah satunya akan merugikan pemikiran falsafah. Tidak ada jalan keluar melainkan dengan memberi perhatian kepada kedua-dua aspek ini, barulah pemikiran Islam akan bangkit semula.

  1. Para pemerintah dalam tempoh berkenaan mengabaikan penjagaan ilmu dan pengetahuan (thaqafah). Jelas sekali, walaupun ilmu boleh dianggap sebagai kelebihan bagi individu, tetapi ia menjadi keperluan asas bagi negara. Para khalifah dan pemerintah awal Islam sangat memahami hakikat ini. Mereka memberi galakan kepada ilmu dan naungan kepada ahli ilmu. Kita dapati para pemikir besar hidup dalam perlindungan para kahlifah dan sultan serta memiliki kedudukan yang sangat berpengaruh. Selepas itu, zaman berubah kepada kelemahan dan kemunduran. Para ilmuan tidak lagi menikmati biaya dan dorongan pemerintah sehingga melemahkan kebudayaan ilmu dan kemerosotannya.

  1. Dunia Islam menghadapi pelbagai pemberontakan politik dalaman dan pelbagai serangan dari luar. Dalam suasana ini, rakyat dibunuh, bandar dimusnahkan, perpustakaan dibakar, pusat-pusat pengajian ditutup. Setangahnya pula berakhir dengan perhambaan rakyat lalu diikuti dengan penindasan akal. Kebebasan berfikir tidak akan hidup dalam suasana perhambaan. Kecergasan akal tidak berlaku selagi tubuh manusia terbelenggu. Dalam suasana murung inilah, gerakan sufi berubah kepada darwisy. Rakyat beralih menyembah para wali dan memuja kubur. Dunia Islam terpisah menjadi negara-negara kecil di peringkat kabilah dan puak. Obor pemikiran beralih dari tangan kaum Muslimin kepada kaum Masihi yang mengambil manfaat dari khazanah pemikiran Islam.Perpindahan aktiviti ilmu dan falsafah ke Eropah menghasilkan aktiviti perindustrian dan perdagangan. Justeru, kegemilangan tamadun berpindah dari Timur ke Barat.

Namun, pemikiran Islam tidak terus mati di Timur. Ia hanya menjadi lemah dan terlindung, menanti peluang untuk aktif kembali dan menyerlah. Dari masa ke semasa, kebangkitan pemikiran Islam disemarakkan oleh para pemikir Islam.

Fajar Kebangkitan Islam

Di penghujung kurun ke-19, kebangkitan pemikiran Islam telah bermula dan dipimpin oleh reformis Jamaluddin al-Afghani. Pusat aktiviti dan aliran pemikiran beliau adalah di Mesir. Di India pula, Sayyid Ahmad Khan memimpin gerakan yang sama. Ia diikuti oleh filosof dan penyair Muhammad Iqbal yang menumpukan kepada pengajian Islam dan falsafah. Beliau menyeru kepada kebangkitan pemikiran yang meneyluruh. Beliau menegaskan bahawa agama, falsafah dan ilmu sains adalah tonggak dalam membina kebangkitan manusia dan asas penting untuk mencapai kebahagiaan insan. Umat ini tidak akan mencapai puncak yang diimpikan tanpa memberi perhatian kepada semua pengajian tersebut.

Mereka diiktui pula oleh pemikir zaman moden termasuk mereka yang berkecimpung dalam penyelidikan, mengarang buku-buku atau aktif dalam dakwah dan gerakan Islam. Antara mereka adalah Muhammad Abduh, Badi’uzzaman Sa’id Nursi, Muhammad Rasyid Ridha, al-Imam Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Abu al-A’la al-Mawdudi, Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi, Ziauddin Sardar, Syed Hussien Nasr, Syeikh Muhammad al-Ghazzali, Dr Yusuf al-Qaradhawi, Sayyid Muhammad Naquib al-‘Attas dan lain-lain.