Wednesday, February 3, 2010

Hadis Rasulullah SAW, Penyakit Taun dan Kaedah Kuarantin (Nota UPS6102)

Ajaran Rasulullah s.a.w 1400 tahun yang lalu menjelaskan kaedah bagaimana mengatasi masalah penyakit berjangkit seperti penyakit taun. Baginda telah telah mengisytiharkan kaedah kawalan yang dilaksanakan untuk membataskan penyebaran penyakit itu berdasarkan sabdanya :
إذا سمعتم بالطاعون بأرض فلا تدخلوها وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تخرجوا منها.
Maksudnya:
Jika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah masuk ke kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di kawasan tersebut janganlah kamu keluar dari situ.
(Sahih al-Bukhari, kitab Tib, Bab taun)
Hadis ini menjelaskan batasan interaksi antara kawasan taun dengan kawasan luar. Terdapat dua batasan yang diarahkan oleh Rasulullah SAW. Pertama, larangan memasuki kawasan wabak. Ia mudah difahami kerana bagi mengelakkan penyakit, kita perlu menjauhi kawasan yang tercemar. Persoalan yang timbul adalah tentang perkara kedua iaitu larangan keluar bagi orang yang berada di dalam kawasan taun, tidak kira sama ada sihat atau sakit.

Orang yang sakit memang tidak wajar keluar dari kawasan wabak supaya tidak membawa kuman kepada kawasan lain. Manakala orang yang sihat pula tetap dilarang keluar atas sebab yang sama. Di sinilah zahirnya hikmah kenabian dan mukjizat sunnah baginda SAW. Kajian sains menunjukkan bahawa apabila sesuatu kawasan ditimpa wabak, penyakit tersebut akan mengenai orang-orang yang lemah daya tahan dirinya (antibodi). Hanya sekitar 30% populasi penduduk akan dijangkiti penyakit. Bakinya adalah golongan yang lebih kuat antibodinya lalu tidak sakit. Namun, mereka juga dilarang keluar dari kawasan kerana tubuh mereka sudah terdedah kepada kuman yang merebak. Walaupun mereka tidak sakit, mereka sudah menjadi pembawa kuman berkenaan dan perlu ditegah dari pergi ke kawasan lain yang belum ada wabak. Kaedah ini pada hari ini dikenali sebagai amalan kuarantin.

Tuesday, February 2, 2010

PERGERAKAN GUNUNG-GANANG (nota UPS6102)
Dalam sebaris ayat, kita telah dimaklumkan bahawa gunung-ganang bukanlah kaku seperti yang kita lihat, tetapi adalah dalam pergerakan secara berterusan.
{وَتَرَى الْجِبَالَ تَحْسَبُهَا جَامِدَةً وَهِيَ تَمُرُّ مَرَّ السَّحَابِ صُنْعَ اللَّهِ الَّذِي أَتْقَنَ كُلَّ شَيْءٍ إِنَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَفْعَلُونَ }
Dan kamu melihat gunung-gunung itu, kamu menyangka ianya tetap di tempatnya, padahal ia bergerak seperti geraknya awan.
Surah an-Naml;88.

Pergerakan gunung-ganang ini adalah disebabkan oleh gerakan dalam kerak bumi di mana ia terletak. Kerak bumi 'terapung' di atas lapisan mantel, yang lebih padat. Pada awal kurun ke 20, pertama kali dalam sejarah apabila seorang saintis jerman bermana Alfred Wegener mengemukakan bahawa benua-benua bumi sebenarnya bergabung bersama ketika ia terbentuk pertama kali, tetapi kemudian hanyut dalam arah yang berbeza-beza, dan akhirnya terpisah ketika bergerak menjauhi antara satu sama lain.
Pakar geologi baru hari ini menyedari bahawa Wegener sebenarnya adalah benar ketika mengemukakan fakta ini pada tahun 1980 an, 50 tahun selepas kematiannya. Seperti yang dinyatakan oleh Wegener dalam artikel yang diterbitkan pada tahun 1915, daratan bumi terbentuk dalam satu gugusan daratan 500 juta tahun lalu, dan daratan besar ini yang dipanggil Pangaea, terletak di kutub selatan.

Melalui anggaran, 80 juta tahun lalu, Pangaea terbahagi kepada dua bahagian yang hanyut dalam arah yang berbeza. Satu dari benua gergasi ini ialah Gondwana, yang meliputi Afrika, Australia, Antartika dan India. Bahagian yang satu lagi dipanggil Laurasia yang meliputi Eropah, Amerika utara dan Asia kecuali India. Lebih dari 150 juta tahun selepas pemisahan ini, Gondwana dan Laurasia berpecah kepada bahagian yang lebih kecil.

Semua benua ini yang timbul selepas penghayutan dataran Pangaea, bergerak secara konstan di permukaan bumi pada kadar beberapa sentimeter setahun, pada masa yang sama menyebabkan perubahan keseimbangan laut dan darat di bumi.
Ditemui sebagai satu hasil kajian geologikal yang dijalankan pada awal abad ke 20, pergerakan kerak bumi ini dijelaskan oleh saintis sebagai berikut;
Kerak dan bahagian atas mantel, dengan ketebalan hampir 100 kilometer, terbahagi kepada beberapa segmen dipanggil daratan. Terdapat enam daratan besar dan beberapa daratan kecil. Berdasarkan kepada teori dipangil 'tektonik daratan', daratan ini bergerak berpusing permukaan bumi, dengan membawa benua-benua dan lantai lautan bersamanya….pergerakan benua telah disukat pada kadar 1-5 sentimeter per tahun. Pergerakan daratan yang berterusan ini akan mengubah sedikit demi sedikit kedudukan geografi dunia. Setiap tahun, sebagai contoh, lautan Atlantik menjadi sedikit lebih luas.

Di sana harus dinyatakan beberapa fakta penting; Tuhan merujuk pergerakan gunung-ganang sebagai satu gerakan 'penghanyutan' dalam ayat tersebut. Hari ini, saintis moden juga menggunakan istilah "hanyutan benua' untuk fenomena ini.
Suatu yang tidak diragui ialah satu dari keajaiban Al-Qur'an ialah fakta saintifik ini yang baru diketahui baru-baru ini melalui bidang sains, telah pun dikhabarkan dalam Al-Qur'an, 1400 tahun yang lalu.
PENEMUAN-PENEMUAN SAINS dan HUBUNGANNYA DENGAN AL-QURAN (Nota UPS 6102)

Al-Quran dan sains mempunyai perspektif dan taraf yang berbeza. Walau bagaimanapun ulama’ Islam mengatakan bahawa semua penyataan sains yang sahih tidak bertentangan dengan ajaran atau penyataan al-Quran dan al-Sunnah. Islam merupakan agama yang syumul, mengandungi segala bentuk pengajaran dari aspek ilmu, kehidupan sosial, keagamaan dan kehidupan akhirat.


Al-Quran adalah mu’jizat yang benar dan berkekalan sifatnya hingga akhir zaman. Sifat al-Quran itu adalah mutlak. Manakala sifat sains pula terbatas kepada tanggapan dan kemampuan manusia untuk mencerap fenomena alam dan melakukan ta’kulan dan kajian yang mendalam.

Al-Quran tidak menggunakan pendekatan yang digunakan oleh sains barat malah al-Quran tidak memerlukan kepada kaedah mereka. Pendekatan al-Quran jauh melebihi pendekatan mantik dan objektif. Contohnya Allah membekalkan manusia dengan kemampuan untuk memahami tanda-tandaNya dalam surah Ali Imran 190 – 191.
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لِّأُوْلِي الألْبَابِ{190} الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَىَ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ{191}

Maksudnya :
Sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi dan perselisihan kejadian malam dan siang adalah untuk orang-orang yang berfikir. Mereka yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan tidur dan mereka yang memikirkan tentang kajadian langit dan bumi, Tuhan kami engkau tidak jadikan ini dengan sia-sia, maha suci engkau maka jauhkanlah kami dari azab api neraka.

Selain itu dalam al-Quran juga banyak ayat- ayat yang menerangkan tentang fakta sains secara langsung atau sampingan. Ia mendorong agar manusia berfikir dan mengamati segala kejadian alam untuk beriman kepada Pencipta yang agung.

Firman Allah :

{سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ }فصلت53

Maksudnya :
Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas bagi mereka al-Quran itu benar.
Surah Fussilat : 53

Segenap penjuru yang dimaksudkan ialah di segenap bidang ilmu, termasuk pengajian sains tabii atau sains pasti. Terdapat banyak ayat al-Quran yang mendorong supaya manusia berfikir serta mengkaji dan memahami alam serta tiada percanggahan di dalamnya.

Ayat di atas menegaskan betapa Allah sengaja memperlihatkan kepada manusia tanda-tanda-Nya dalam pelbagai aspek dan dimensi; yang akhirnya akan menzahirkan kebenaran al-Quran sebagai wahyu yang datang dari Tuhan Pencipta, bukan rekaan manusia yang bernama Muhammad SAW. Justeru, banyak penemuan saintifik hari ini mendorong para saintis memeluk Islam apabila mereka dapati fakta tersebut telah dinyatakan oleh Al-Quran lebih awal, 1,400 tahun yang lalu.

Masakan manusia pada zaman Muhammad SAW dapat menemukan fakta seperti itu pada zaman yang belum memiliki kemajuan dan teknologi seperti hari ini. Keselarasan antara ayat al-Quran dengan fakta penemuan sains hanya menjelaskan satu maksud agung; iaitu al-Quran itu datang dari Allah, Tuhan Maha Pencipta, yang sentiasa memerhatikan kita, serta segala kegiatan manusia.