Wednesday, February 3, 2010

Hadis Rasulullah SAW, Penyakit Taun dan Kaedah Kuarantin (Nota UPS6102)

Ajaran Rasulullah s.a.w 1400 tahun yang lalu menjelaskan kaedah bagaimana mengatasi masalah penyakit berjangkit seperti penyakit taun. Baginda telah telah mengisytiharkan kaedah kawalan yang dilaksanakan untuk membataskan penyebaran penyakit itu berdasarkan sabdanya :
إذا سمعتم بالطاعون بأرض فلا تدخلوها وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تخرجوا منها.
Maksudnya:
Jika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah masuk ke kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di kawasan tersebut janganlah kamu keluar dari situ.
(Sahih al-Bukhari, kitab Tib, Bab taun)
Hadis ini menjelaskan batasan interaksi antara kawasan taun dengan kawasan luar. Terdapat dua batasan yang diarahkan oleh Rasulullah SAW. Pertama, larangan memasuki kawasan wabak. Ia mudah difahami kerana bagi mengelakkan penyakit, kita perlu menjauhi kawasan yang tercemar. Persoalan yang timbul adalah tentang perkara kedua iaitu larangan keluar bagi orang yang berada di dalam kawasan taun, tidak kira sama ada sihat atau sakit.

Orang yang sakit memang tidak wajar keluar dari kawasan wabak supaya tidak membawa kuman kepada kawasan lain. Manakala orang yang sihat pula tetap dilarang keluar atas sebab yang sama. Di sinilah zahirnya hikmah kenabian dan mukjizat sunnah baginda SAW. Kajian sains menunjukkan bahawa apabila sesuatu kawasan ditimpa wabak, penyakit tersebut akan mengenai orang-orang yang lemah daya tahan dirinya (antibodi). Hanya sekitar 30% populasi penduduk akan dijangkiti penyakit. Bakinya adalah golongan yang lebih kuat antibodinya lalu tidak sakit. Namun, mereka juga dilarang keluar dari kawasan kerana tubuh mereka sudah terdedah kepada kuman yang merebak. Walaupun mereka tidak sakit, mereka sudah menjadi pembawa kuman berkenaan dan perlu ditegah dari pergi ke kawasan lain yang belum ada wabak. Kaedah ini pada hari ini dikenali sebagai amalan kuarantin.

No comments: