Tuesday, February 2, 2010

PENEMUAN-PENEMUAN SAINS dan HUBUNGANNYA DENGAN AL-QURAN (Nota UPS 6102)

Al-Quran dan sains mempunyai perspektif dan taraf yang berbeza. Walau bagaimanapun ulama’ Islam mengatakan bahawa semua penyataan sains yang sahih tidak bertentangan dengan ajaran atau penyataan al-Quran dan al-Sunnah. Islam merupakan agama yang syumul, mengandungi segala bentuk pengajaran dari aspek ilmu, kehidupan sosial, keagamaan dan kehidupan akhirat.


Al-Quran adalah mu’jizat yang benar dan berkekalan sifatnya hingga akhir zaman. Sifat al-Quran itu adalah mutlak. Manakala sifat sains pula terbatas kepada tanggapan dan kemampuan manusia untuk mencerap fenomena alam dan melakukan ta’kulan dan kajian yang mendalam.

Al-Quran tidak menggunakan pendekatan yang digunakan oleh sains barat malah al-Quran tidak memerlukan kepada kaedah mereka. Pendekatan al-Quran jauh melebihi pendekatan mantik dan objektif. Contohnya Allah membekalkan manusia dengan kemampuan untuk memahami tanda-tandaNya dalam surah Ali Imran 190 – 191.
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لِّأُوْلِي الألْبَابِ{190} الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَىَ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ{191}

Maksudnya :
Sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi dan perselisihan kejadian malam dan siang adalah untuk orang-orang yang berfikir. Mereka yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan tidur dan mereka yang memikirkan tentang kajadian langit dan bumi, Tuhan kami engkau tidak jadikan ini dengan sia-sia, maha suci engkau maka jauhkanlah kami dari azab api neraka.

Selain itu dalam al-Quran juga banyak ayat- ayat yang menerangkan tentang fakta sains secara langsung atau sampingan. Ia mendorong agar manusia berfikir dan mengamati segala kejadian alam untuk beriman kepada Pencipta yang agung.

Firman Allah :

{سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ }فصلت53

Maksudnya :
Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas bagi mereka al-Quran itu benar.
Surah Fussilat : 53

Segenap penjuru yang dimaksudkan ialah di segenap bidang ilmu, termasuk pengajian sains tabii atau sains pasti. Terdapat banyak ayat al-Quran yang mendorong supaya manusia berfikir serta mengkaji dan memahami alam serta tiada percanggahan di dalamnya.

Ayat di atas menegaskan betapa Allah sengaja memperlihatkan kepada manusia tanda-tanda-Nya dalam pelbagai aspek dan dimensi; yang akhirnya akan menzahirkan kebenaran al-Quran sebagai wahyu yang datang dari Tuhan Pencipta, bukan rekaan manusia yang bernama Muhammad SAW. Justeru, banyak penemuan saintifik hari ini mendorong para saintis memeluk Islam apabila mereka dapati fakta tersebut telah dinyatakan oleh Al-Quran lebih awal, 1,400 tahun yang lalu.

Masakan manusia pada zaman Muhammad SAW dapat menemukan fakta seperti itu pada zaman yang belum memiliki kemajuan dan teknologi seperti hari ini. Keselarasan antara ayat al-Quran dengan fakta penemuan sains hanya menjelaskan satu maksud agung; iaitu al-Quran itu datang dari Allah, Tuhan Maha Pencipta, yang sentiasa memerhatikan kita, serta segala kegiatan manusia.

No comments: