Monday, January 4, 2010

Khutbah Jumaat: Apa Itu Islam Liberal?Oleh : Abu Zaki bin Hj Ismail, Januari 2007

الحمد لله الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ.
أشهد أن لا إله إلا الله وحده، صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده، وهزم الأحزاب وحده.
وأشهد أن محمدا رسول الله، أدى الأمانة وبلغ الرسالة ونصح الأمة وجاهد في الله جهاده.
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ على سيدنا محمد أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين.
أما بعد،
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Sidang Jumaat sekalian,

Saya berpesan buat diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan beriltizam di atas jalan-Nya (agama-Nya) dan mengelakkan diri dari terpesong dari jalan yang lurus ini.

Firman Allah Surah al-An’am: 153. Maksudnya: Dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (ugama Islam) Yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.


Sidang Jumaat sekalian,

Kita mungkin pernah mendengar cerita atau dialog antara seorang pendakwah dengan seorang wanita ketika pendakwah itu mengajaknya supaya memakai tudung dan menutup aurat dengan sempurna. Tiba-tiba, wanita tadi menjawab: “Allah tidak melihat kepada perkara zahir. Apa yang lebih penting adalah dalaman kita dan libasuttaqwa (pakaian taqwa) kita.”

Libasuttaqwa disebut oleh al-Quran dalam surah al-A’raf, ayat 26. Malangnya, ia telah digunakan pula manusia untuk mengelakkan diri dari melaksanakan kewajipan dirinya.

Sidang Jumaat sekalian,

Itu hanyalah sebahagian dari adegan dan dialog yang menggambarkan salah satu bentuk pemikiran yang ada pada hari ini. Ia adalah salah satu episod dari siri-siri serangan pemikiran yang telah melanda umat ini sejak beberapa abad yang lalu. Islam sebagai agama yang sangat cemerlang dalam sejarahnya, sering berhadapan dengan pelbagai aliran yang dengki lalu cuba merosakkannya atau mengelirukan penganutnya. Bermula dengan kelahiran fahaman rafidhah, jabariyyah, murji’ah dan sebagainya sehingga lahirnya fahaman dan ideologi seperti sekularisme, kapitalisme, komunisme, sosialisme dan lain-lain yang cuba menyesatkan manusia dari agama yang benar ini.

Terkini, agama ini dihadapkan pula dengan fahaman liberal di kalangan penganutnya sendiri. Ia mungkin lebih dikenali atau mengaku sebagai “Islam Liberal” di dalam media-media yang terselindung seperti laman web dan forum maya dalam internet.

Secara umum dan sebagai pengenalan, aliran Islam Liberal mendakyahkan kebebasan berfikir dan kebebasan mentafsir agama. Dengan kata lain, ia menyeru agar semua orang diberi hak untuk bercakap tentang Islam. Hak untuk memberi pandangan mengenai Islam, al-Quran dan hadis tidak wajar dibataskan kepada golongan agama sahaja. Inilah sebahagian dari kempen mereka.

Sidang Jumaat sekalian,

Sebenarnya, aliran ini adalah lanjutan dari perkembangan pemikiran modenisme yang berusaha untuk menyesuaikan Islam dengan realiti kehidupan moden yang sedang berkembang hari ini. Sedangkan, kita sepatutnya menyesuaikan kehidupan di zaman moden ini dengan Islam, bukan mengubah Islam mengikut acuan kemodenan.

Nampaknya, setelah gagal menghapuskan Islam dengan senjata, dan gagal juga menghapuskan Islam dengan kempen pelbagai ideologi yang bercanggah dengan aqidah Islam, musuh-musuh mengubah pula strategi mereka dengan menggunakan pendekatan nama Islam sendiri. Mereka menggunakan tafsiran ayat al-Quran dan hadis-hadis pula untuk mengelirukan umat yang jahil supaya tidak berpegang dengan hukum-hakam agama. Inilah modenisme model Islam liberal.

Modenisme adalah kepercayaan bahawa, untuk mencapai kemajuan hidup, masyarakat harus dibebaskan dari tradisinya. Dari asas kepercayaan ini, ia berkembang sebagai satu gerakan intelektual dan kebudayaan yang berusaha merombak segala sistem kepercayaan dan struktur susunan masyarakat diamalkan oleh tradisi. Secara khusus, aliran modenisme adalah gerakan protes yang berasa kecewa dengan kongkongan, monopoli dan manipulasi kelompok agama terhadap kebebasan dan hak-hak asasi individu dan masyarakat.

Di sebalik itu semua, pendokong liberalisme dalam Islam ini sebenarnya cuba mengaplikasikan atau melaksanakan pengalaman penganut Kristian ke atas agama Islam pula. Liberalisasi dan modenisasi mungkin memang diperlukan dalam Kristian lantaran sejarah Eropah mencatatkan penguasaan dan kongkongan gereja telah mengakibatkan penderitaan yang tidak dapat dilupakan oleh bangsa itu. Namun perkara seperti itu tidak pernah berlaku dalam Islam. Maka Islam tidak wajar diperlakukan sedemikian rupa.

Justeru, kita hendaklah berwaspada terhadap ajaran dan pemikiran Islam liberal ini. Antara ciri-ciri fahaman ini adalah :
1. berpegang pada relativisma atau kepercayaan bahawa kebenaran tidak bersifat mutlak. Justeru, semua pandangan agama-agama boleh diterima kerana ia bergantung kepada penilaian individu.
2. melihat agama sebagai hasil perkembangan pemikiran manusia, bukan berasaskan sumber al-Quran dan hadis.
3. menganggap Islam terbuka kepada pelbagai tafsiran.
4. menuntut kebebasan dalam mentafsirkan ajaran agama, walaupun tidak memiliki kelayakan asas dalam bidang agama.
5. menolak apa sahaja bentuk kewibawaan ilmiah atau autoriti dalam agama.
6. beranggapan ada perbezaan antara Islam yang sebenar dengan Islam yang ditafsirkan oleh ulama tradisi.
7. selalu mengkritik tafsiran ulama tradisi dengan dakwaan ia tidak sesuai dengan kemodenan.
8. pandangan terhadap agama bersifat liberal kerana tidak mahu terikat dengan tradisi yang diamalkan.
9. menuntut keterbukaan ijtihad termasuk dalam bidang akidah, ibadah dan perkara yang telah disepakati ulama (ijmak).
10. menyamakan suasana kehidupan beragama di negara ini dengan kehidupan beragama di Eropah pada abad ke 16 hingga 18 Masihi (ketika masyarakat Eropah ditindas golongan gereja).
11. menafikan hak agama dalam mengawal moral penganutnya.
12. menganggap perkara agama sebagai hak individu, tidak boleh dijadikan nilai yang dipaksa dalam pentadbiran atau undang-undang.
13. mempromosikan emansipasi atau kebebasan wanita dan persamaan hak dengan kaum lelaki.
14. mendukung penuh demokrasi liberal.

Sidang Jumaat sekalian,

Kita perlu menyedari bahawa kita diseru oleh Allah s.w.t. supaya sentiasa berpegang pada agamanya dan tidak terikut-ikut ajaran dan pemikiran yang lain. Firman Allah dalam Surah Yusuf: ayat 108. Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang Yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah Dengan berdasarkan keterangan dan Bukti Yang jelas nyata. dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari Segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu Yang lain.”

Sidang Jumaat sekalian,

Apa yang penting untuk menghayati Islam dan memenuhi perintah Allah s.w.t. adalah, kita perlu melihat ajaran Islam secara menyeluruh kepada semua aspek agama ini. Kita juga perlu mempelajari hukum-hakam agama ini dengan melihat kepada semua nas al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Bukan dengan hanya membaca beberapa ayat dan melihat beberapa hadis, lalu kita sudah membuat kesimpulan yang bertentangan roh dan matlamat agama ini seluruhnya. Kita pula merasa lebih faham dan bijak dalam memahami sumber agama ini sehingga menganggap ulamak-ulamak silam telah melakukan kesilapan dan mengelirukan umat ini sepanjang zaman.

Dalam kes libasuttaqwa tadi, sebagai contoh, kita hendaklah membaca ayat 26 surah al-A’raf tadi, bersama dengan ayat-ayat lain sekitarnya serta memggandingkannya dengan ayat dan hadis-hadis lain. Ayat-ayat sebelum dan selepas ayat libasuttaqwa tadi menceritakan tentang tipu daya iblis yang memperdaya Adam dan Hawa di dalam syurga.
Tipu daya Iblis menyebabkan Adam dan Hawa memakan buah larangan lalu terdedahlah aurat dan kemaluan mereka satu sama lain. Lalu, dalam ayat 26 Allah s.w.t. menjelaskan :
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاساً يُوَارِي سَوْءَاتِكُمْ وَرِيشاً وَلِبَاسُ التَّقْوَىَ ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ{26}
Maksudnya: [7.26] Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

Ini bererti libasuttaqwa adalah penegasan kepada pakaian yang menutup aurat sempurna ketika Adam dan Hawa sudah terdedah auratnya. Justeru, ia bukan satu alasan pula untuk kita mendedahkan sebahagian dari aurat kita kerana hanya berpegang kepada pakaian taqwa. Hadis Rasulullah s.a.w. ini pula wajar dijadikan sandaran memahami ayat-ayat tadi :
عن عائشة رضي الله عنها: أن أسماء بنت أبي بكر دخلت على رسول الله وعليها ثياب رقاق فأعرض عنها رسول الله وقال " يا أسماء إن المرأة إذا بلغت المحيض لم تصلح أن يرى منها إلا هذا وهذا " وأشار إلى وجهه وكفيه.
Maksudnya: Dari Aisyah r.a.: bahawa Asma’ binti Abu Bakar masuk ke rumah Rasulullah s.a.w. dalam keadaan memakai pakaian yang nipis. Lalu Rasulullah s.a.w. berpaling dan berkata: Wahai Asma’! Sesungguhnya apabila seorang perempuan telah sampai umur haidh (baligh), maka tidak boleh dilihat pada dirinya (oleh lelaki lain) melainkan ini dan ini (sambil Rasulullah s.a.w. menunjuk kepada muka dan kedua pergelangan tangannya). (Hadis sahih, riwayat Abu Daud, no 4104, Maktabah Syamilah)

Ayat Libasuttaqwa juga perlu dibaca dan difahami bersama ayat 31, surah al-Nur:

{وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ ... }(سورة النور:31)
Maksudnya: [24.31] Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;…

Sidang Jumaat sekalian,

Jika kita mampu, maka kita hendaklah memahami agama ini dari keseluruhan ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Untuk memahami nas-nas itu, kita perlu pula memahami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan bahasa Arab, latar belakang suasana ketika ayat-ayat al-Quran diturunkan, nasakh dan mansukh, kaedah periwayatan hadis, kaedah penilaian hadis dan banyak lagi. Jika kita tidak mampu untuk mempelajari semua ilmu-ilmu berkenaan, maka berpadalah kita dengan menerima bimbingan dan pandangan ulamak-ulamak silam yang muktabar dan ikhlas. Mereka telah melaksanakan tugas mereka dengan tekun dan penuh amanah sehingga lahirlah khazanah ilmu-ilmu Islam yang sangat banyak. Kalau pun mungkin mereka melakukan sedikit sebanyak kesilapan, sikap kita yang wajar adalah mendoakan keampunan untuk mereka dan bukan mencerca dan mencela mereka, sedangkan mereka pula sudah tiada di dunia ini.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran: ayat 100. Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

بارك الله لي ولكم بالقرآن العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته، إنه هو السميع العليم. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ. فَاسْتَغْفِرُوْهُ. إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

No comments: