Monday, January 18, 2010

MALAPETAKA DARWINISMA TERHADAP KEMANUSIAAN

Abad ke-20 yang baru sahaja kita tinggalkan, merupakan satu abad yang sarat dengan peperangan dan konflik, yang membawa kepada kesengsaraan, pembunuhan beramai- ramai, kemiskinan, dan kemusnahan yang dahsyat. Berjuta-juta manusia telah dibunuh, dihapuskan beramai-ramai, terjerumus ke kancah kebuluran dan kematian, dan juga terbiar tanpa rumah dan kediaman, tiada pelindungan dan sokongan. Semua ini tanpa sebarang sebab: melainkan kerana perhambaan mereka terhadap ideologi-ideologi sesat. Berjuta-juta manusia telah terdedah kepada layanan tidak berperikemanusiaan yang tidak layak diterima walau pun oleh haiwan. Hampir di setiap zaman pasti terdapat pemerintah-pemerintah dan diktator-diktator yang menyebabkan semua kesengsaraan dan malapetaka ini: seperti Stalin, Lenin, Trotsky, Mao, Pol Pot, Hitler, Mussolini, Franco dan lain-lain.

Ketika sebahagian mereka berkongsi ideologi yang sama, sebahagian yang lain pula menjadi musuh ketat mereka. Hanya kerana ideologi mereka yang bertentangan, mereka telah mengheret seluruh masyarakat kepada konflik dan mengakibatkan saudara menentang saudara, mendorong mereka memulakan peperangan, melemparkan bom, membakar dan memusnahkan kereta, rumah, dan kedai-kedai, dan melancarkan demonstrasi- demonstrasi ganas.

Fasisme dan Komunisme menjadi kepala kepada ideologi-ideologi yang menyebabkan manusia terpaksa menempuh hari-hari yang kelam ini. Semua ideologi-ideologi ini telah disuburkan oleh satu sumber ideologi. Sumber tersebut ialah falsafah materialis dan DARWINISME, sebuah falsafah yang diadaptasikan daripada alam semula jadi. Dengan berselindung di sebalik topeng sains, ia telah membenarkan ideologi-ideologi ini dan tindakan penyokong-penyokongnya untuk mendapatkan pengesahan palsu.
Dengan pengesahan palsu ini, teori evolusi kemudiannya telah meninggalkan bidang ilmu biologi dan paleontologi dan mula memberikan ulasan di dalam bidang hubungan manusia kepada sejarah, dan mula mempengaruhi berbagai bidang lain daripada politik kepada sosial.

Pada dasarnya, masyarakat telah mula mencuba untuk menerima idea bahawa terdapatnya "perjuangan untuk hidup" (fight for survival) di dalam hidupan di alam ini, dan hasilnya, idea bahawa "yang kuat akan selamat, yang lain pula akan ditewaskan dan lenyap" telah mula mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku manusia. Apabila dakwaan Darwinisme bahawa alam ini adalah satu tempat untuk bertempur dan berkonflik mula mempengaruhi manusia dan masyarakat, kecenderungan Hitler untuk membina satu bangsa utama, dakwaan Marx bahawa "sejarah manusia adalah sejarah pertembungan kelas-kelas", pandangan kapitalisme bahawa "yang kuat akan menjadi lebih kuat apabila makin banyak yang lemah", penjajahan negara-negara dunia ketiga oleh bangsa-bangsa imperialis seperti Britain dan layanan mereka yang tidak berperikemanusiaan dan kejam, bersama kenyataan bahawa kulit berwarna masih berhadapan dengan serangan rasialis dan diskriminasi, semuanya ini telah mendapat justifikasi. Walaupun seorang evolusionis, Robert Wright, pengarang buku The Moral Animal merumuskan malapetaka teori evolusi ini seperti berikut:

Teori evolusi mempunyai sejarah aplikasi yang panjang, hebat dan kotor ke atas kehidupan manusia. Setelah campur tangan di dalam falsafah politik sekitar abad ini untuk membentuk satu ideologi kabur yang dikenali sebagai "Darwinisme sosial", ia telah jatuh ke tangan rasialis, fasis, dan kapitalis yang kejam.

Sekiranya setiap orang dapat memahami kepalsuan saintifik teori ini, ia akan dapat menghapuskan ideologi-ideologi yang berbahaya ini. Mereka yang melakukan kejahatan tidak akan dapat mempertahankan diri mereka dengan menyatakan, "ini adalah undang-undang alam". Mereka akan kehilangan sokongan saintifik untuk sifat mementingkan diri, dan kekejaman mereka.

Apabila idea Darwinisme telah dimusnahkan, hanya satu kebenaran akan tinggal. Iaitu semua manusia dan alam ini telah dijadikan oleh Allah. Apabila sebahagian besar masyarakat mula menyedari kebenaran ini, keperitan, masalah, pembunuhan beramai-ramai, malapetaka, ketidakadilan, dan kemiskinan akan bertukar dengan kesedaran, keterbukaan, kekayaan, kelapangan, kesihatan dan kemewahan. Untuk itu, setiap idea songsang yang berbahaya kepada manusia perlu ditewaskan dan dimusnahkan oleh idea mulia yang akan membawa kebahagiaan kepada manusia. Penyelesaiannya ialah dengan menolak idea mereka yang melakukan perkara-perkara ini dan menjelaskan kepada mereka dengan baik dan sabar, perkara sebenar yang perlu mereka gantikannya.

Kita perlu menunjukkan kepada mereka yang mempertahankan Darwinisme, apakah sebenarnya yang mereka pertahankan itu, dan apakah tanggungjawab yang terpaksa mereka pikul selagi mereka tidak melihat kebenarannya. Tujuan lain pula bukan sekadar untuk mengingatkan mereka yang tidak mempercayai Darwinisme, tetapi juga mereka yang tidak melihat Darwinsime sebagai satu ancaman kepada manusia.

RASISME DAN PENJAJAHAN DARWIN


Sahabat karib Darwin, Profesor Adam Sedgwick adalah di antara mereka yang menyedari bahaya yang dibawakan oleh teori evolusi ini di masa hadapan. Beliau mencatatkan, selepas membaca dan meringkaskan buku The Origin of Species, bahawa "sekiranya buku ini diterima oleh masyarakat umum, ia akan membawa bersamanya satu bentuk keganasan manusia yang belum pernah disaksikan sebelum ini."

Darwinisme telah memberikan diskriminasi dan penghapusan manusia satu kehormatan saintifik yang salah dan kebenaran yang silap, iaitu "Pemeliharaan Ke Atas Bangsa-bangsa Pilihan…"

Kebanyakan Darwinis hari ini mendakwa bahawa Dawin bukan seorang rasialis. Mereka mendakwa ekspresi "By Preservation of Favoured Races" pada satu tajuk di dalam buku The Origin of Species hanya untuk binatang. Bagaimana pun, mengabaikan apa yang telah disebutkan oleh Darwin tentang bangsa-bangsa manusia di dalam bukunya. Bangsa-bangsa manusia mewakili peringkat-peringkat evolusi yang berbeza, dan sebahagian bangsa-bangsa ini telah berkembang dan bergerak maju lebih baik daripada sebahagian yang lain. Sebahagian yang lain pula, berada pada paras yang hampir sama dengan monyet.

Darwin mendakwa bahawa "perjuangan untuk hidup" juga berlaku di kalangan bangsa-bangsa manusia. "Bangsa-bangsa terpilih" telah berjaya di dalam perjuangan ini. Menurut Darwin bangsa pilihan tersebut ialah bangsa kulit putih Eropah. Sementara bagi bangsa-bangsa Afrika dan Asia, mereka telah ketinggalan di dalam perjuangan untuk hidup. Lebih daripada itu Darwin juga menyatakan: bangsa-bangsa ini lama kelamaan akan tewas sepenuhnya di dalam perjuangan untuk hidup ini dan akhirnya akan hilang, dia mendakwa:
Suatu masa nanti, tidak berapa lama lagi, bangsa-bangsa manusia yang bertamadun akan menghapuskan dan menggantikan bangsa-bangsa buas di seluruh dunia. Pada masa yang sama, makhluk-makhluk iras beruk… pasti akan terhapus. Perbezaan di antara manusia dan sekutunya yang paling hampir akan menjadi lebih jauh, jika tidak ia akan mengganggu manusia di negara yang lebih bertamadun, seperti yang kita harapkan, seperti perbezaan bangsa kulit putih dan beberapa jenis beruk serendah babun, tidak seperti perbezaan sekarang di antara Negro atau bangsa Australia dan gorila.

Di samping itu, di bahagian lain di dalam The Origin of Species, Darwin juga telah mendakwa bahawa adalah perlu untuk bangsa-bangsa yang lebih rendah dihapuskan dan tidak perlu bagi manusia yang maju untuk cuba melindungi mereka dan membiarkan mereka hidup. Beliau membandingkan keadaan ini dengan situasi orang yang menternak haiwan ternakan.

Seperti yang dapat kita saksikan, di dalam buku beliau The Origin of Species Darwin melihat penduduk asli Australia dan Negro sebagai makhluk-makhluk yang sama taraf dengan gorila dan mendakwa bahawa bangsa-bangsa ini akan lenyap. Sementara bagi bangsa-bangsa lain yang dilihatnya sebagai "bermartabat rendah", dia menegaskan bahawa adalah perlu untuk menyekat mereka supaya bangsa-bangsa ini pupus.

Perjalanan yang telah dilalui oleh Darwin telah mendedahkan sifat rasialisnya. Sebagai contoh, Darwin menganggap istilah "binatang buas" adalah lebih sesuai kepada kaum-kaum yang kebudayaan dan kebolehan mereka telah dibincangkan oleh penyelidik lain.

Sementara itu, perkara yang berlaku kepada "mereka yang bertamadun", menurut idea rasialis Darwin, adalah untuk mempercepatkan sedikit jangka masa evolusi ini. Di dalam keadaan ini tidak terdapat sebarang bantahan (dari pandangan "saintifik") untuk bangsa-bangsa ini dimansuhkan sekarang.

Wajah sebenar rasialis Darwin dapat diperhatikan di dalam tulisan-tulisan dan pemerhatiannya. Sebagai contoh, beliau menggambarkan orang asli Tierra del Fuego yang dilihatnya di dalam pengembaraan pada tahun 1871 sebagai makhluk-makhluk hidup yang "bertelanjang sepenuhnya, berlumur dengan warna-warna, makan apa sahaja yang mereka temui tidak ubah seperti binatang liar, tidak terkawal, ganas terhadap siapa sahaja di luar kabilah mereka, merasa megah menyeksa musuh mereka, menawarkan pengorbanan berdarah, membunuh anak-anak mereka, menyeksa isteri-isteri mereka, padat dengan kepercayaan khurafat yang tidak masuk akal".

Bagaimanapun, seorang penyelidik W.P. Snow, yang telah menjelajah ke kawasan yang sama sepuluh tahun sebelumnya, telah memberikan gambaran yang berbeza. Menurut Snow, Tierra del Fuegians adalah "sahabat-sahabat yang perkasa dan baik; mereka amat menyayangi anak-anak mereka; sebahagian daripada bahan artifak mereka mempunyai nilai seni yang tinggi; mereka mengiktiraf beberapa hak harta benda; dan mereka menerima kuasa autoriti beberapa wanita yang lebih berumur."

Lebih daripada itu, teori Darwin yang mengingkari kewujudan Tuhan, telah menyebabkan manusia tidak menyedari bahawa mereka adalah ciptaan Tuhan dan semua manusia telah dijadikan sama rata. Ini merupakan salah satu faktor di sebalik peningkatan rasisme dan penerimaannya di dunia. Seorang pakar sains Amerika James Ferguson telah mengumumkan kaitan di antara penafian ciptaan dan peningkatan fahaman rasisme seperti berikut:
Ilmu antropologi baru akan menjadi satu medan teori di antara dua aliran pemikiran yang berbeza tentang asal usul hidupan. Aliran yang tertua dan lebih kukuh ialah "monogenisme", kepercayaan bahawa semua manusia, tanpa mengira warna kulit dan sifat-sifat lain, berasal terus daripada Adam dan terhasil daripada ciptaan Allah. Monogenisme telah disebarkan oleh gereja dan telah diterima luas sehingga abad ke-19, apabila penentang kepada teori ini mula menyemarakkan teori "poligenisme" (teori evolusi) yang percaya bahawa komuniti-komuniti yang berbeza mempunyai asal usul yang berbeza.

Seorang antropologis India Lalita Vidyarthi menerangkan bagaimana teori evolusi Darwin telah menyebabkan rasisme diterima oleh sains-sains kesosialan:
Teori beliau (Darwin) tentang 'yang kuatlah, yang terus hidup' telah dialu- alukan oleh para pakar sains kesosialan hari ini, dan mereka percaya manusia telah mencapai peringkat-peringkat evolusi tertentu yang mencapai kemuncaknya pada tamadun bangsa kulit putih. Pada separuh kedua abad ke-19, rasisme talah diterima sebagai satu fakta oleh majoriti para pakar sains Barat.

Penjajahan dan Darwinisme British

Negara yang mendapat untung daripada pandangan rasialis Darwin ini ialah negara Darwin sendiri, Britain. Pada tahun-tahun ketika Darwin mengemukakan teorinya, Great Britain berada pada kedudukan untuk membentuk empayar jajahan nombor satu di dunia. Semua sumber-sumber semula jadi di kawasan menganjur daripada India ke Amerika Latin telah dieksploitasi oleh Empayar British. "Orang-orang kulit putih" telah merompak seluruh dunia untuk kepentingan mereka sendiri.

Negara penjajah seperti Great Britain tidak mahu dikenali sebagai "perompak". Mereka mencari penjelasan yang menggambarkan orang-orang yang telah dijajah ini sebagai "manusia primitif". Dengan cara ini, mereka yang dibunuh beramai-ramai dan mendapat layanan yang tidak berperikemanusiaan akan dilihat makhluk separuh-manusia separuh-haiwan dan layanan buruk itu tidak akan dianggap sebagai satu jenayah.

Penjajahan di dunia ini bermula pada abad ke-15 dan 16. Dakwaan bahawa sebahagian manusia mempunyai sifat-sifat separuh-haiwan dikemukakan pertama kalinya oleh Christopher Columbus di dalam pengembaraannya ke Amerika. Orang Asli Amerika dianggap satu spesies haiwan yang telah berkembang. Kerana itu, mereka layak berkhidmat untuk penjajah-penjajah Sepanyol.

Walau berapa hebat Columbus digambarkan di dalam filem sebagai seorang yang baik kepada orang-orang asli, tetapi sebenarnya Columbus tidak pernah menganggap orang-orang asli ini sebagai manusia. Beliau adalah orang pertama yang melakukan pembunuhan beramai-ramai. Columbus telah menubuhkan koloni Sepanyol di tempat-tempat yang dijelajahinya, menjadikan orang-orang asli sebagai hamba dan dia juga bertanggungjawab untuk memulakan perniagaan hamba-hamba. Populasi sebuah pulau adalah 200,000 ketika Columbus mula sampai ke situ, dan menjadi 50,000 sahaja 20 tahun kemudian, dan pada 1540 hanya seribu yang masih tinggal. Apabila penakluk Sepanyol yang terkenal, Cortes, pertama kali menjejakkan kakinya ke Mexico pada Februari 1519, jumlah populasi orang asli ialah 25 juta, tetapi pada 1605 ia telah menurun kepada I juta sahaja. Di pulau Hispaniola, populasi yang asalnya adalah 7-8 juta pada 1492, telah jatuh kepada 4 juta pada 1496, dan hanya tinggal 125 orang pada 1570. Menurut pandangan ahli sejarah, kurang seabad Columbus menjejakkan kakinya ke benua tersebut 95 juta telah dibunuh beramai-ramai oleh penjajah. Ketika Columbus menemui Amerika, terdapat 30 juta orang asli tinggal di benua tersebut. Hasil daripada pembunuhan beramai-ramai sejak dahulu sehingga sekarang, mereka telah berada pada kedudukan menjadi satu bangsa yang berpopulasi kurang daripada 2 juta.

Rasisme dan Masyarakat Darwinisme di Amerika

Presiden Amerika Theodore Roosevelt, adalah penyokong dan pelaksana program pembersihan etnik menentang orang-orang asli di atas nama "perpindahan secara paksa". Dalam buku The Winning of the West, beliau telah mengasaskan ideologi pembunuhan beramai-ramai, yang menegaskan bahawa perang menghapuskan orang-orang asli Amerika adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Hujah beliau adalah Darwinisme, yang mentakrifkan orang-orang asli sebagai satu spesies yang ketinggalan.

Tidak ada satu pun persetujuan dengan orang-orang asli ini yang dihormati. Pada 1871, Kongres telah mengabaikan semua perjanjian dengan orang-orang asli Amerika dan bercadang untuk mengasingkan mereka di pulau kematian.

Roosevelt juga menganggarkan perang kaum di atas memberikan kejayaan kepada penyebaran masyarakat yang bertutur Inggeris (Anglo-Saxons) ke seluruh dunia. Seorang penyokong rasisme Anglo-Saxon, penyokong evolusi Amerika juga seorang pegawai agama Protestan, Josiah Strong, berpegang kepada logik yang sama. Beliau menulis:
Apabila dunia telah memasuki tahap baru dalam sejarahnya - persaingan bangsa-bangsa terakhir di mana Anglo-Saxon terlatih. Sekiranya saya tidak salah, bangsa yang kuat ini akan melepasi Mexico, terus ke kawasan Tengah dan Selatan Amerika, merintasi pulau-pulau di laut, hingga ke Afrika dan merentasinya. Dan tiada siapa dapat meragui bahawa hasil daripada persaingan ini adalah "yang kuatlah, yang terus hidup"
Rasialis paling utama yang menggunakan Sosial Darwinisme untuk menjustifikasikan diri mereka sendiri adalah mereka yang memusuhi orang kulit hitam. Teori rasis mereka telah mengklafikasikan bangsa-bangsa kepada kasta-kasta dan menempatkan orang kulit putih sebagai bangsa paling maju dan bangsa kulit hitam sebagai bangsa yang paling primitif.

Ahli teori evolusi, Henry Fairfield Osborn, menulis artikel The Evolution of Human Race bahawa "darjah kebijaksanaan seorang Negro dewasa adalah sama dengan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun dari spesies Homo sapiens".

Carleton Coon, dalam buku The Origin of Race, 1962, menyatakan bangsa kulit hitam dan bangsa kulit putih adalah dua spesies berbeza yang telah berpecah satu sama lain ketika zaman Homo Erectus. Orang kulit putih telah berkembang dengan lebih pesat. Penyokong-penyokong diskriminasi menentang orang-orang kulit hitam telah menerima penjelasan saintifik ini sejak berzaman.

Pembentukan undang-undang diskriminasi perkauman pertama "Jim Crow Laws" (Jim Crow adalah nama hina bagi orang kulit hitam yang digunakan oleh orang kulit putih), juga telah berlaku pada masa ini. Orang-orang kulit hitam tidak langsung dilayan sebagai manusia, dan ditekan dan dilayan dengan penuh kebencian di mana-mana sahaja: tambahan pula ianya bukan hanya satu sifat beberapa orang rasialis secara individu tetapi sebaliknya ia telah ditetapkan oleh kerajaan Amerika Syarikat dengan undang-undangnya sendiri. Sebaik sahaja selepas undang-undang pertama yang memperkenalkan pengasingan di dalam pengangkutan keretapi dan trem yang telah dijalankan di Tennessee in 1875, seluruh negeri-negeri Selatan telah mengamalkan pengasingan di dalam pengangkutan-pengangkutan keretapi mereka. Papan tanda "untuk orang kulit putih sahaja" dan "untuk orang kulit hitam" telah digantung di mana-mana. Sebenarnya semua ini hanya membuktikan penerimaan status rasmi kepada satu situasi yang telah pun wujud. Perkahwinan di antara dua bangsa yang berbeza adalah haram. Berdasarkan undang-undang ini, pengasingan hanya diwajibkan di hospital, penjara, dan kubur. Tetapi ia juga telah dipraktikkan di hotel, teater, perpustakaan, dan malah di lif dan gereja. Bidang di mana pengasingan ini paling dirasai ialah di sekolah. Ini adalah praktis yang memberikan kesan yang hebat kepada orang-orang kulit hitam dan merupakan halangan terbesar terhadap pembangunan kebudayaan mereka.

PENINDASAN KE ATAS BANGSA KULIT HITAM:

Ku Klux Klan adalah sebuah kumpulan yang telah melakukan serangan paling ganas ke atas bangsa kulit hitam. Rantai di dalam gambar ini telah digunakan untuk merantai hamba-hamba kulit hitam sesama sendiri.

Pelaksanaan pengasingan kaum telah diiringi oleh satu gelombang keganasan. Ia telah meningkatkan jumlah pembunuhan tanpa pengadilan. Sekitar 1890 dan 1901 kira-kira 1,300 orang kulit hitam telah dibunuh tanpa bicara. Hasil daripada pelaksanaan ini orang-orang kulit hitam telah mula memerontak di beberapa negeri.

Pandangan dan teori rasialis telah mengiringi zaman ini. Kemudian, rasisme biologi Amerika dapat dilihat di dalam satu hasil kajian yang dicapai oleh metode ukuran tengkorak R. B. Bean, dan di sebalik alasan untuk melindungi masyarakat benua baru daripada migrasi yang tidak terkawal, sejenis rasisme Amerika telah mula berkembang. Madison Grant, pengarang buku The Passing of the Great Race, telah mencatatkan bahawa kacukan dua bangsa akan membuka jalan kepada meningkatkan satu bangsa yang lebih primitif daripada spesies yang maju, dan dia mahu supaya perkahwinan campur disekat. Dia juga mahu supaya perkahwinan campur disekat.

Rasisme telah pun wujud di Amerika sebelum Darwin, seperti yang terjadi di seluruh dunia. Tetapi seperti yang telah kita saksikan, Darwinisme telah memberikan pandangan dan polisi rasialis sokongan padu pada pertengahan kedua abad ke-19. Sebagai contoh, seperti yang dapat kita saksikan di dalam bab ini, apabila orang-orang rasialis mengemukakan pandangan-pandangan mereka, mereka menggunakan dakwaan-dakwaan Darwin sebagai slogan. Ideal-ideal yang dianggap sebagai bahaya sebelum Darwin, kini telah mula diterima sebagai undang-undang semula jadi.

Polisi Kejam Rasialis Secara Darwin: Penghapusan Orang-orang Aborigin

Orang-orang asli Australia dikenali sebagai Aborigin. Mereka yang tinggal di benua tersebut beratus-ratus tahun telah mengalami penghapusan paling besar di dalam sejarah dengan peluasan pendudukan orang-orang Eropah di negara tersebut. Asas ideologi penghapusan ini ialah Darwinisme. Pandangan ideologi Darwinis tentang orang-orang Aborigin telah membentuk teori liar yang telah menyeksa mereka.
Pada tahun 1870 Max Muller, seorang pakar antropologi penyokong evolusi daripada London Anthropological Review, telah membahagikan bangsa-bangsa manusia kepada tujuh kategori. Aborigin telah ditempatkan pada kedudukan yang paling bawah, dan bangsa Aryan, iaitu bangsa kulit putih Eropah, berada pada kedudukan yang paling atas. H. K. Rusden, seorang Sosial Darwinis terkenal, telah menerangkan seperti berikut tentang Aborigin pada 1876:

Konsep 'yang kuatlah, yang terus hidup' bererti yang gagah sentiasa betul. Dan kita perlu membangkitkan dan memenuhi undang-undang pilihan semula jadi ini apabila menghapuskan bangsa-bangsa Australia dan Maori yang inferior ini… dan kita membahagikan harta warisan mereka dengan baik.

PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI BANGSA ABORIGIN:

Bangsa peribumi Australia, Aborigin, telah dilihat sebagai satu spesies manusia yang tidak membangun oleh para penyokong evolusi dan telah dibunuh beramai-ramai.
Dan pada tahun 1890 Timbalan Presiden Royal Society di Tasmania, James Barnard, telah menulis: "proses pemusnahan ini adalah satu prinsip evolusi dan 'yang kuatlah, yang terus hidup' yang telah diterima umum". Oleh itu adalah tidak perlu untuk beranggapan bahawa "telah berlaku kecuaian yang teruk" di dalam pembunuhan dan pencabulan terhadap orang-orang Aborigin Australia.

Hasil daripada pandangan rasialis, ganas, dan liar yang telah dipupuk oleh Darwin ini, satu operasi pembunuhan beramai-ramai telah dijalankan untuk menghapuskan orang-orang Aborigin ini. Kepala Aborigin telah dipaku di pintu-pintu stesen. Roti beracun telah diberikan kepada keluarga-keluarga Aborigin. Di kebanyakan kawasan-kawasan Australia, kawasan penempatan Aborigin telah dihapuskan dengan cara yang ganas dalam masa 50 tahun.

Polisi-polisi yang ditujukan kepada orang-orang Aborigin ini tidak hanya terhenti dengan pembunuhan beramai-ramai. Ramai di antara mereka yang dilayan sebagai haiwan-haiwan eksperimen. Institut Smithsonia di Washinton D.C. telah menyimpan 15,000 orang bangsa ini yang masih berbaki. 10,000 orang Abogin Australia telah dihantar dengan kapal laut ke Museum British dengan tujuan untuk memastikan samada mereka benar-benar adalah "rantaian yang hilang" di dalam perubahan daripada haiwan kepada manusia.

Muzium-muzium ini tidak hanya berminat dengan tulang-tulang mereka, tetapi dalam masa yang sama juga mereka menyimpan otak kepunyaan orang-orang Aborigin ini dan menjualnya dengan harga yang tinggi. Terdapat juga bukti yang menunjukkan bahawa orang-orang Aborigin ini juga dibunuh untuk digunakan sebagai spesimen.

DARWINISME: SUMBER KEKEJAMAN KOMUNIS

Pengasas Komunisme, Karl Marx dan Friedrich Engels, Satu ideologi yang telah membawa penderitaan yang maha hebat kepada manusia pada abad yang penuh dengan keganasan dan kekejaman yang baru sahaja kita tinggalkan, dan merupakan ideologi paling tersebar luas di dunia, ialah tidak lain, Komunisme. Komunisme, yang mencapai kemuncaknya dengan dua orang ahli falsafah Jerman Karl Marx dan Friedrich Engels di dalam abad ke-19, telah menumpahkan begitu banyak darah di dunia ini mengatasi Nazi dan imperialis. Ia telah menyebabkan kematian kepada mereka yang tidak berdosa dan menyebarkan keganasan, ketakutan, dan kekecewaan kepada manusia. Sehingga kini apabila orang memperkatakan tentang negara-negara Tabir Besi dan Rusia, imej yang muncul ialah komuniti-komuniti yang dikuasai oleh kegelapan, kabus, dan kekecewaan, jalan-jalan kosong, kesusahan, dan ketakutan. Walau seyakin mana Komunisme dianggap telah musnah pada 1991, tetapi saki-baki yang ditinggalkannya masih wujud. Walau "seliberal" mana pun sebahagian daripada Komunis dan Marxis yang "tidak pernah menyesal", tetapi falsafah materialis, keburukan Komunisme dan Marxisme dan yang telah memesongkan manusia daripada agama dam moral, masih terus mempengaruhi manusia.
Ideologi ini yang telah menyebarkan keganasan ke setiap ceruk dunia sebenarnya telah mewakili satu idea yang berasal daripada zaman purba. Dialektik ialah satu kepercayaan bahawa semua pembangunan di alam ini meningkat hasil daripada konflik. Berdasarkan kepada kepercayaan ini Marx dan Engels telah mula menjalankan analisis sejarah dunia. Marx mendakwa bahawa sejarah manusia adalah satu konflik, di mana konflik ketika itu ialah di antara pekerja dan kapitalis, dan pekerja-pekerja ini akan bangkit dan membentuk revolusi Komunis.

Sifat yang paling menonjol dua orang pengasas Komunisme ini ialah, seperti mana materialis-materialis lain, mereka telah mencetuskan kebencian terhadap agama. Marx dan Engels sememangnya ateis dan melihat penyimpangan daripada agama sebagai inti pati pandangan Komunisme.

Tetapi Marx dan Engels kekurangan satu perkara penting: untuk menarik perhatian masyarakat umum mereka perlu memberikan ideologi mereka satu tarikan saintifik. Dan perikatan bahaya yang telah menyebabkan kepedihan, keganasan, pembunuhan yang melampau, menukarkan dua saudara kepada musuh, separatisme abad ke-20, telah berkembang pada noktah ini. Darwin telah membentangkan teori evolusinya di dalam bukunya The Origin of Species. Dan alangkah menariknya dakwaan asas yang dikemukakannya adalah penjelasan yang Marx dan Engels sedang cari. Darwin mendakwa bahawa hidupan telah berkembang hasil daripada "pertarungan untuk hidup" atau "konflik dialektik". Tambahan pula, dia menafikan ciptaan dan menolak kepercayaan-kepercayaan agama. Bagi Marx dan Engels pula ia adalah peluang yang tidak patut dilepaskan.

Ketaksuban Pengikut-pengikut Marx dan Engels terhadap Darwin
Pengikut-pengikut Marx dan Engel, yang telah menyebabkan kematian berjuta-juta manusia dan menjadi punca kepada mereka yang lain hidup di dalam kesengsaraan, ketakutan dan keganasan, telah menerima teori evolusi ini dengan amat gembira dan ghairah.

John N. Moore memperkatakan hubungan di antara evolusi dan ketua-ketua Soveit yang telah melaksanakan idea-idea Marx dan Engel di Rusia:
Pemikiran ketua-ketua USSR berakar umbi daripada pandangan evolusi.88
Leninlah yang telah merealisasikan projek Revolusi Komunis Marx. Lenin, pemimpin gerakan Bolshevik Komunis di Rusia, berhasrat untuk menjatuhkan rejim pemerintah di Rusia dengan kekerasan. Kekecohan yang berlaku selepas Perang Dunia I telah memberikan peluang yang mereka cari-cari. Dengan diketuai oleh Lenin, Komunis telah mengambil alih kuasa dengan kekerasan pada Oktober 1917. Selepas revolusi ini, Rusia telah menghadapi tiga tahun perang saudara di antara Komunis dan penyokong-penyokong pemerintah asal (tsar).

Seperti pemimpin-pemimpin Komunis yang lain, Lenin sering kali menegaskan bahawa teori Darwin adalah asas utama falsafah materialis.Salah satu kenyataan beliau telah mendedahkan pandangan beliau terhadap Darwin:
Darwin telah memusnahkan kepercayaan bahawa haiwan dan tumbuhan tidak mempunyai sebarang pertalian, melainkan secara kebetulan, dan ia telah dijadikan Allah, dan kerana itu ia kekal.

Trotsky, yang dianggap sebagai penggubal terpenting revolusi Bolshevik selepas Lenin, juga telah menegaskan kepentingan Darwinisme. Beliau mengisytiharkan kekagumannya terhadap Darwin seperti berikut:
Penemuan Darwin adalah kejayaan terhebat kepada dialektik dalam semua bidang organik.

Berikutan kematian Lenin pada 1924, Stalin, yang dikenali sebagai seorang diktator paling kejam di dalam sejarah dunia, telah mengambil alih kepimpinan Parti Komunis. Selama 30 tahun berkuasa, Stalin telah membuktikan betapa zalimnya sistem Komunisme ini.

Langkah pertama Stalin ialah menguasai golongan petani yang mewakili 80 peratus populasi Rusia di atas nama kerajaan. Di atas nama polisi pengumpulan yang mencabul hak-hak peribadi, semua hasil pertanian penduduk kampung Rusia telah dikutip oleh pegawai-pegawai bersenjata. Hasil daripada tindakan ini ialah kebuluran yang serius. Berjuta-juta wanita, kanak-kanak, dan orang-orang tua yang tidak menemui sesuatu untuk dimakan telah mengakhiri hidup mereka di dalam derita kebuluran. Jumlah kematian di Caucasus sahaja ialah 1 juta.
Stalin telah menghantar beratus-ratus orang yang cuba menolak polisi ini ke kem-kem buruh Siberia yang teruk. Kem-kem ini, di mana tahanan-tahanan bekerja sehingga mati, telah menjadi tanah perkuburan kepada ramai orang. Di samping itu. Berpuluh ribu orang juga telah dihukum bunuh oleh polis rahsia Stalin. Berjuta-juta penduduk telah dipaksa untuk berpindah ke pelosok-pelosok Rusia yang jauh, termasuk orang-orang Turki Crimea dan Turkestan.

Stalin, salah satu nama paling berdarah di dalam sejarah, menyebabkan kematian berpuluh juta orang, kematian disebabkan kebuluran dan kemiskinan, dan berjuta-juta yang lain terbiar tanpa tempat tinggal dan pekerjaan
Melalui polisi-polisi kejam ini Stalin telah membunuh kira-kira 20 juta orang. Ahli sejarah mendedahkan bahawa kekejaman ini telah memberikannya kepuasan yang hebat. Ia memberikannya kepuasan untuk duduk di mejanya di Kremlin dan menganalisis senarai-senarai mereka yang telah mati di kem-kem tahanan atau siapa yang telah dihukum bunuh.

Sebahagian ahli psikologi peribadinya menyatakan, pengaruh utama yang menyebabkan beliau menjadi seorang pembunuh yang kejam seperti ini ialah falsafah materialis yang diyakininya. Di dalam perkataan Stalin sendiri, asas utama kepada falsafah ini ialah teori evolusi Darwin. Dia menerangkan kepentingan beliau menerima idea-idea Darwin:
Terdapat tiga perkara yang perlu kita lakukan untuk membebaskan minda pelajar-pelajar menengah kita. Kita perlu mengajar mereka period bumi, asal usul geologi, dan ajaran Darwin.

Ketika Stalin masih hidup, seorang rakan sepermainannya yang rapat sewaktu kecil telah menceritakan dengan panjang lebar bagaimana Stalin menjadi seorang ateis di dalam buku Landmark in the Life of Darwin:
Ketika di awal usianya, ketika masih menjadi seorang pelajar sekolah gereja, Stalin telah membentuk satu minda kritikal dan sentimen revolusi. Dia telah mula membaca Darwin dan menjadi seorang ateis.

Di dalam buku yang sama, G. Glurdjidze, seorang lagi rakan sepermainan Stalin telah menceritakan bagaimana Stalin telah berhenti mempercayai Tuhan dan telah memberitahunya bahawa puncanya ialah buku Darwin, dan mendesaknya untuk turut membacanya.

KAPITALISME DAN PERJUANGAN UNTUK HIDUP DI DALAM EKONOMI

Perkataan kapitalis bererti kesetiaan kepada kekayaan, satu sistem bebas dan tidak terbatas yang berasaskan sepenuhnya kepada keuntungan di mana masyarakat bersaing di dalam kriteria ini. Terdapat tiga elemen penting di dalam kapitalisme: individualisme, persaingan dan membuat keuntungan. Individualisme sangat penting di dalam kapitalisme, kerana masyarakat tidak menganggap diri mereka sebahagian daripada masyarakat, tetapi sebaliknya sebagai satu individu yang berdiri di atas dua kakinya dan perlu mendapatkan sesuatu dengan usahanya sendiri. "Masyarakat Kapitalis", adalah satu arena di mana setiap individu bersaing di antara satu sama lain di dalam keadaan yang sukar dan kejam. Ia adalah sebuah arena yang digambarkan oleh Darwin, di mana yang gagah akan selamat, yang lemah akan ditindas dan dihapuskan, dan di mana peraturan-peraturan kejam dijalankan.

Berdasarkan logik, kapitalisme adalah berasaskan kepada setiap individu - dan ini termasuk juga seseorang, sebuah syarikat, atau satu bangsa -perlu berjuang untuk pembangunan dan kemajuan diri mereka sahaja. Kriteria yang paling penting di dalam perjuangan ini ialah pengeluaran. Pengeluar yang terbaik akan selamat, sementara yang lemah dan tidak berdaya saing akan dihapuskan dan lenyap. Ia membentuk sistem ini, dengan melupakan bahawa mereka yang telah dihapuskan di dalam perjuangan yang perit ini, mereka yang ditindas dan jatuh miskin, juga adalah "manusia". Perhatian utama mereka bukannya manusia, tetapi pembangunan ekonomi, dan produk, hasil daripada pembangunan ini. Kerana itulah, mentaliti kapitalis merasa tiada tanggungjawab etnik dan kesedaran kepada mereka yang ditindas dan ditekan, dan mereka yang hidup susah. Darwinismelah yang telah mempraktikkannya di dalam masyarakat melalui ekonomi.

Dengan menyakini keperluan menggalakkan persaingan di dalam setiap lapangan masyarakat, dan beranggapan tidak perlu memberikan peluang kepada mereka yang lemah di dalam sebarang bidang, daripada kesihatan kepada ekonomi, ahli teori Sosial Darwinisme telah memberikan sokongan "falsafah" dan "sains" kepada kapitalisme. Sebagai contoh, menurut Tille, contoh mentaliti secara Darwin-kapitalis yang terkenal, adalah satu kesilapan untuk cuba menghalang kemiskinan dengan menolong "golongan-golongan yang telah ditewaskan ini", kerana ia akan mengganggu pilihan semula jadi yang membawa kepada evolusi.

Pada pandangan Herbert Spencer, teori utama Sosial Darwinisme, yang memperkenalkan prinsip-prinsip Darwinisme di dalam kehidupan masyarakat, ialah sekiranya seseorang itu miskin, itu adalah kesilapannya, siapa pun tidak wajar untuk membantunya untuk bangun. Sekiranya seseorang itu kaya, walau pun dia memperolehi kekayaan tersebut dengan cara yang tidak bermoral sekali pun, itu sebenarnya adalah kebolehannya. Kerana itulah orang-orang kaya selamat, dan orang-orang miskin pula lenyap. Pandangan ini telah tersebar luas ke hampir seluruh masyarakat hari ini, dan ia adalah inti pati daripada prinsip-prinsip moral secara Darwin-kapitalis.

Spencer yang mempertahankan prinsip-prinsip moral ini telah menyiapkan hasil kerjanya "Social Statistics" pada 1850, dan menentang semua sistem bantuan yang disediakan oleh kerajaan, perlindungan kesihatan, sekolah-sekolah kerajaan dan inokulasi wajib. Kerana menurut Sosial Darwinisme, kedudukan masyarakat terbentuk daripada prinsip terus hidup yang terkuat. Membantu mereka yang lemah dan menyelamatkan mereka adalah bersalahan dengan prinsip ini. Mereka yang kaya menjadi kaya kerana mereka lebih kuat; sebahagian bangsa menakluki sebahagian yang lain kerana mereka lebih superior daripada yang lain, sebahagian bangsa dijajah oleh bangsa lain kerana mereka lebih bijak daripada mereka. Spencer telah menyerapkan doktrin ini di dalam masyarakat manusia dengan mendakwa: "Sekiranya mereka sempurna untuk hidup, mereka akan hidup, dan memang mereka berhak hidup. Sekiranya mereka tidak sempurna untuk hidup, mereka akan mati, dan adalah lebih baik bagi mereka untuk mati."

Graham Sumner, pengarah Sains Politik dan Sosial di Universiti Yale, adalah wakil Sosial Darwinisme di Amerika. Di dalam salah satu tulisannya beliau meringkaskan pandangan beliau tentang masyarakat manusia seperti berikut:
"… sekiranya kita menaikkan seseorang, kita perlukan sangga tuas, satu titik tindak balas. Di dalam masyarakat, ia bererti untuk menaikkan seseorang kita perlu menjatuhkan orang lain".

Richard Milner, Ketua Pengarang Majalah Nature History di American Museum of Nature History, menulis:
Salah seorang wakil Sosial Darwinisme Graham Summer daripada Princeton, menganggap jutawan adalah individu yang "terkuat" di dalam masyarakat dan mereka berhak mendapat keistimewaan. Mereka telah "terpilih secara semulajadi di dalam persaingan yang kejam ini".

KERUNTUHAN MORAL YANG DIBAWAKAN OLEH DARWINISME

Malapetaka paling teruk yang dibawa oleh Darwinisme kepada manusia ialah pemesongan manusia daripada agama. Moral yang ganas dan kepincangan jiwa akan segera melanda masyarakat yang berpaling daripada agama. Terdapat banyak contoh masyarakat seperti ini hari ini.

Pada hari ini, jumlah mereka yang mempertahankan Darwinisme secara ilmiah adalah amat terhad. Tetapi golongan minoriti ini terdiri daripada mereka yang menyalurkan idea-idea kepada masyarakat di dalam berbagai bidang. Mereka mempunyai kemampuan untuk menyuntik pandangan mereka kepada sebahagian besar masyarakat. Contohnya, pensyarah-pensyarah universiti terkenal, sebahagian besar pengarah filem, dan editor-editor penyiaran tersohor, akhbar-akhbar dan majalah, adalah sebahagian besarnya evolusionis, dan tentu sahaja adalah ateis. Kerana itulah, sebahagian besar masyarakat yang mendengar syarahan mereka telah terpengaruh dan dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran evolusi mereka yang anti-agama. Hasilnya, masyarakat terus berkembang di dalam keadaan idea-idea liar ini diterima secara meluas.
Ernst Mayr, seorang biologis di Universiti Harvard dan salah seorang pakar evolusi terkenal di dunia, menggambarkan kedudukan teori evolusi di dalam kehidupan masyarakat seperti berikut:
Sejak Darwin, setiap orang mengaku berasal daripada beruk… evolusi telah memberikan impak ke atas setiap aspek pemikiran manusia: falsafahnya, metafiziknya, etniknya…131
Penyebaran luas Darwinis yang mendominasi seluruh kehidupan manusia bertindak sebagai satu bentuk 'hipotesis' yang kuat ke atas manusia. Terutamanya generasi muda yang tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi untuk membentuk sebarang pandangan dunia, walau yang paling dangkal sekali pun, dengan mudah terpengaruh dengan pandangan-pandangan seperti ini. Adalah terlalu mudah untuk mengheret golongan ini melalui majalah-majalah yang mereka baca, filem, persembahan atau klip-klip muzik yang mereka tontoni, dan, yang paling penting, pendidikan yang mereka terima di sekolah. Pengaruh inilah yang menyebabkan mereka mempercayai bahawa teori evolusi ini adalah benar selama 150 tahun, tanpa mengira hakikatnya yang menipu dan tidak saintifik.

Jika kamu perhatikan, propaganda anti-agama jarang dilakukan secara terbuka, tidak seorang pun mendakwa secara terang-terangan bahawa dia tidak perlu mempunyai agama. Tetapi sebaliknya uslub yang berbeza telah digunakan, yang tidak disedari sekali imbas. Ejekan terhadap agama, subjek-subjek agama, atau mereka yang dikenali dengan keimanan mereka, dan juga penggunaan perkataan-perkataan yang menjurus ke arah penolakan agama, takdir, dan agama, di dalam lirik-lirik lagu, novel, filem, tajuk-tajuk berita, dan lawak jenaka, adalah sebahagian daripada uslub-uslub lain yang digunakan.

Dari segi lain pula, subjek-subjek Darwinisme adalah senjata utama propaganda anti-agama ini. Walaupun di dalam subjek-subjek yang sama sekali tidak berkaitan, penipuan bahawa moyang kita adalah beruk telah ditekankan. Malah, teori evolusi juga turut dicatatkan di dalam analisis psikologi manusia. Dengan cara ini, masyarakat manusia yang lahir ialah mereka yang tidak mengambil berat tentang agama, hari qiamat, dan tanggungjawab moral, mereka tidak berfikir, tidak beriman atau bertaqwa kepada Allah, dan tidak benar-benar percayakanNya, walaupun apabila ditanya mereka akan mengakui bahawa mereka mempercayai Tuhan dan agama. Mereka yang tidak beriman dan bertaqwa kepada Allah, tidak mengenali sebarang batas di dalam apa-apa bidang, dan mula hidup seperti haiwan yang mereka anggap sebagai asal mereka.

Sebagai contoh, seseorang tidak boleh mengharapkan seorang yang cuai dan tidak bertakwa kepada Allah untuk memelihara akhlaknya, kerana mereka beranggapan bahawa tidak ada sebarang sempadan yang perlu mereka awasi. Mereka akan terus melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral selagi mana mereka bebas daripada pengawasan. Seperti keadaan sekarang ini, terutamanya golongan muda dan bahagian tertentu di dalam masyarakat, tindakan-tindakan yang melampaui batas, penyebaran fahaman yang menganggap nilai-nilai moral dan perintah Tuhan itu sebagai sesuatu yang tidak bererti, pemalingan manusia daripada agama hasil daripada dakwaan-dakwaan Darwinisme, adalah di antara kesannya. Mereka yang menganggap diri mereka terbiar tanpa sebarang batasan dan mereka yang percaya bahawa mereka tidak perlu bertanggungjawab kepada orang lain, mempamerkan sikap boros yang melampau setiap hari. Pemuda dan pemudi boleh mengeluarkan kenyataan kepada akhbar menerangkan kehidupan seksual mereka secara terperinci, dan akhbar akan menyiarkannya, dan pembaca juga tidak ambil kisah. Perzinaan, yang media agungkan dan gambarkannya dengan berhati-hati, malah menyeru manusia untuk melakukannya, telah menjadi satu amalan yang tidak lagi dianggap luar biasa. Melalui pemerhatian yang teliti, di dapati di sebalik pembunuhan, pelacuran, dan penipuan di dalam segala aspek, memberi dan menerima rasuah, dan pembohongan: ringkasnya di dalam semua perkara yang tidak bermoral, kelemahan iman dapat dilihat di sini. Cara paling efektif kelemahan iman ini tersebar ialah kesan daripada penipuan Darwin yang mendakwa bahawa "manusia telah berkembang hasil daripada kebetulan yang amat tipis".

Ken Ham, pengarang buku The Lie: Evolution, menjadikan kelemahan iman yang disebabkan oleh Darwin sebagai subjek dan berkata:
Sekiranya kamu menolak Tuhan dan menggantikanNya dengan kepercayaan lain yang meletakkan peluang, proses-proses rawak di tempat Tuhan, tidak akan ada asas pertimbangan yang betul dan salah. Undang-undang akan menjadi apa yang kamu inginkan. Tidak akan ada sebarang prinsip kukuh yang dipegang. Manusia akan menulis undang-undang mereka sendiri.

Seorang evolusionis terkenal, Theodious Dobzhansky, bersetuju bahawa idea "pilihan semula jadi", yang menjadi asas Darwinisme, telah menyumbang ke arah kemerosotan moral di dalam masyarakat:
Pilihan semula jadi boleh menyebabkan egotisme, hedonisme, pengecut, penipu dan eksploitasi, sementara etika kumpulan di dalam setiap masyarakat berusaha untuk menghalang atau mengharamkan perilaku 'tabii' seperti ini, dan memuliakan perlakuan yang bertentangan dengannya, seperti: baik hati, bersopan santun, dan berkorban untuk kepentingan kumpulan atau bangsa lain dan seterusnya untuk manusia sejagat.133
Jika kita perhatikan di sekeliling, kita dengan mudah akan mengesan kerosakan moral yang telah dibawa oleh Darwinisme. Idea bahawa peningkatan, kemajuan, dan ketamadunan, adalah hasil daripada manusia yang hidup berasingan di antara satu sama lain dan tanpa ikatan untuk saling membantu, kesetiaan, menghormati, dan kasih sayang, telah membebankan masyarakat. Idea bahawa akibat-akibat seperti ini terpaksa diterima untuk penghasilan dan pembangunan yang lebih hebat, telah dibuat berulang kali. Sedangkan ia sebenarnya adalah hasil daripada perbuatan manusia yang mengheret diri mereka kepada "status binatang", bukannya kepada pembangunan dan ketamadunan.
Sedangkan sebenarnya manusia bukan satu spesies haiwan dan tidak muncul daripada sebarang haiwan. Manusia, yang Allah ciptakan dengan kewarasan, kecerdikan, kesedaran, dan jiwa, adalah makhluk yang jauh berbeza dengan hidupan lain oleh beberapa kualiti yang baik. Tetapi akibat terpengaruh dengan moral secara Darwin-materialis, manusia telah melupakan kualiti-kualiti ini dan terjerumus kepada kebengkengan, ketidaksopanan dan tiada kesedaran dan berfikiran lebih teruk daripada haiwan. Kemudian mereka mengatakan bahawa, "Lagi pun kita ini berasal daripada haiwan, (perangai buruk) ini juga adalah warisan genetik daripada mereka", dan menyediakan asas saintifik sebagai jawapan kepada kelemahan jiwa dan kesedaran mereka.

Ramai para pakar kajian kelakuan manusia secara Darwin menggunakan logik ini sebagai hujah, dan mendakwa bahawa kecenderungan manusia kepada keganasan adalah warisan daripada haiwan yang menjadi nenek moyang mereka.

No comments: