Wednesday, January 14, 2009

Nasionalisme (Kebangsaan)

Nasionalisme adalah fahaman yang mengutamakan tautan/hubungan kaum dan bangsa mengatasi perkara lain. Nasionalisme lahir dari perasaan kebangsaan yang tumbuh dalam kumpulan manusia dengan ikatan kuat berdasarkan bangsa, kaum atau perkongsian bahasa, sejarah dan kepentingan ekonomi. Secara analisis, ada beberapa asas yang membentuk nasionalisme:

  1. Bangsa atau kaum.
  2. Perkongsian tempat lahir dan membesar. Ia dikenali sebagai tanahair atau watan.
  3. Perkongsian bahasa.
  4. Perkongsian perasaan dan sejarah.
  5. Perkongsian kepentingan ekonomi.

Faktor-faktor ini (semua atau sebahagiannya) mengukuhkan tautan sekumpulan manusia dan menguasai minda, perasaan dan emosi mereka sehingga mereka menjadi satu hati meninggalkan orang lain. Berdasarkan asas inilah mereka saling membantu, berdamai dengan orang yang damai dengan kelompoknya dan memerangi orang yang memerangi kelompoknya.

Namun, apabila kita teliti, faktor-faktor ini akan luput dan tidak berpegang kepada kebenaran.

Bangsa dan kaum

Kebergantungan kepada bangsa dan kaum adalah perasaan yang salah. Tiada mana-mana bangsa yang boleh mendakwa mereka dapat menjaga ketulenan bangsanya selama berabad lamanya. Ini kerana bangsa-bangsa manusia saling berkait satu sama lain. Hubungan itu berlaku dalam pelbagai urusan termasuk perniagaan dan pendidikan. Bangsa Jerman pernah cuba memastikan bangsanya tetapi gagal.

Perkongsian tempat lahir

Idea ini juga berasaskan andaian singkat kerana tanah air (tempat kelahiran) seseorang manusia bertaut dengan tanah lain secara berpanjangan hingga meliputi seluruh bumi. Tanah air hanya sebahagian dari bumi. Sepatutnya manusia merasakan seluruh bumi itulah tanah airnya dan semua yang ada di bumi itu adalah saudara maranya. Setiap manusia di bumi punyai tanggungjawab dan hak yang berkait dengan saudaranya.

Perkongsian bahasa

Bahasa tidak lebih dari alat untuk berkomunikasi. Antara beberapa bangsa dan kumpulan, ia mempunyai sedikit sebanyak persamaan, justeru ia tidak mampu menyatukan pemikiran dan halatuju. Dalam konteks hari ini banyak bangsa dan kaum yang wujud tetapi tidak menggunakan satu bahasa sahaja. Satu bangsa mungkin memiliki beberapa bahasa. Oleh itu, bahasa tidak sesuai dijadikan asas untuk menyatukan manusia atau mencetuskan perbezaan dan pengasingan antara anak bangsanya.

Perkongsian ekonomi

Kepentingan ekonomi tidak cukup untuk melahirkan perasaan perkauman. Sikap melampau dalam mementingkan kesatuan ini hanya akan menyempitkan ruang kehidupan dalam ketika berhadapan dengan pelbagai bangsa yang wujud. Ia hanya mendorong setiap bangsa bersikap terasing dan mewujudkan halangan ekonomi antara pelbagai bangsa.

Perkongsian perasaan dan sejarah

Perasaan lahir dari perkongsian dan persamaan pegangan di samping idea, pemikiran dan kecenderungan yang lahir dari pegangan tadi.

Matlamat awal fahamn kebangsaan adalah untuk menjauhkan hubungan Islam dan merungkai aspek politik dan sosial secara umum dari ikatan Islam. Kemudian ia diganti dengan falsafah lain mengisi ruang akidah itu lalu membina ikatan lain. Semuanya untuk memisahkan bangsa-bangsa Islam antara satu sama lain. Tujuannya adalah menjadikan hubungan antara satu bangsa Muslim dengan Muslim sama sahaja dengan hubungan mereka dengan bangsa bukan Islam yang lain. Seterusnya melemahkan hubungan budaya antara bangsa-bangsa Islam dan akhirnya meruntuhkan semangat persaudaraan Islam.

Cetusan fahaman kebangsaan dalam umat Islam telah membawa kepada lahiranya pelbagai unsur perkauman yang banyak, seperti semangat Kurdish di Iraq dan semangat Benggal di Pakistan. Negara-negara besar Eropah menggalakkan pertumbuhan nasionalisme Arab dalam bentuk sekular supaya mudah dijajah dan pengaruh asing dapat diperkukuhkan bahkan terus menguasai mereka.

Dua bentuk nasionalisme

Bukan semua semangat perkauman dan nasionalisme ditentang oleh Islam. Bahkan ada yang diterima dan ada yang ditentang.

Islam tidak menentang semangat kaum hanya kerana ia adalah semangat bangsa. Islam tidak menentang semangat hubungan bangsa yang menghubungkan manusia dengan bangsa, kaum, puak dan tanah airnya. Semangat kebangsaan seperti ini adalah realiti fitrah yang ada pada manusia. Manusia secara nalurinya suka kepada hubungan ini.

Islam juga tidak menentang nasionalisme dalam erti manusia cinta kepada bangsa dan tanah airnya serta mahukan kekayaan dan kemajuan padanya. Islam juga tidak menentang nasionalisme yang mahu membebaskan setiap bangsa ke arah kemerdekaan dan kebebasan serta mencapai kecemerlangan dalam kehidupan. Setiap bangsa berhak untuk bangun menguruskan kehidupan mereka sendiri. Bangsa lain tidak berhak menguasai mereka dan membolot kekayaan dan khazanah mereka.

Islam juga tidak menentang nasionalisme yang berbangga dengan Islam serta menjadikannya sistem hidup dan sumber keagungan dan kebahagiaan mereka.

Sebaliknya Islam memerangi nasionalisme totok yang dianggap oleh setengah nasionalis sebagai pegangan menggantikan akidah Islam. Mereka memilihnya dan meninggalkan perkara yang lebih baik darinya.

Islam juga memerangi nasionalisme yang dijadikan asas pemikiran politik atau aliran yang terpisah untuk kehidupan bangsa itu. Realiti ini menjadikan bangsa itu menyembah dirinya sendiri, juga mengagungkan matlamat dan kepentingan mereka lalu mengabaikan kepentingan orang lain. Mereka tidak mepedulikan keperluan orang lain.

Islam juga memerangi nasionalisme yang melampau dalam memuja bangsanya dan menafikan ikatan yang lain. Mereka menjadikannya sebagai pegangan, ekstrim kepadanya dan memerangi sesiapa sahaja selainnya, memandang rendah kedudukan agama dan para pendokongnya.

Rasulullah SAW bersabda:

عن ابنة واثلة بن الأسقع أنها سمعت أباها يقول قلت : يا رسول الله ما العصبية قال أن تعين قومك على الظلم (رواه البيهقي)

No comments: